Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Monday, February 8, 2010

Zambry diisytihar MB Perak yang sah

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Keputusan penal hakim tersebut diumumkan oleh Arifin pada jam 11 pagi.

Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Berikutan itu, Pakatan telah membawa perkara itu ke mahkamah.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Nizar diwakili oleh para peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Zambry.

Perak tambah kusut jika Nizar kembali berkuasa

Keadaan di Perak dijangka bertambah lebih rumit dan kusut jika keputusan Mahkamah Persekutuan esok memihak kepada menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

"Sekiranya, mahkamah memutusakan Nizar adalah Menteri Besar yang sah, esok, keadaan di Perak akan bertambah kusut,” kata pakar perlembagaan negara, Abdul Aziz Bari

Beliau mengulas kontroversi berhubung siapa menteri besar Perak yang sah antara Nizar dengan menteri besar sekarang ini, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Profesor undang-undang dari UIA itu menjelaskan sejak setahun lalu, Zambry banyak membuat keputusan semasa 'pemerintahan' Barisan Nasional.

“Keputusan yang memihak kepada Nizar akan menjadi keputusan-keputusan (Zambry) sebagai tidak sah,” tegasnya.

Situasi berkenaan sudah tentu akan menyaksikan keadaan yang kucar kacir di Perak dan menjejaskan keyakinan pelabur asing ke negeri itu.

Keputusan pentadbiran Zambry, termasuk pembentangan bajet negeri baru-baru ini juga akan menjadi tidak sah.

Abdul Aziz juga menolak cadangan daripada sesetengah pihak jika mahkamah membuat keputusan prospektif bagi mengatasi kesulitan berkenaan.

Sumber : Malaysiakini

ISU YBK: Kerajaan Negeri Perlu Ada Keutamaan

1. Ugutan YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hendak menghalang pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Yayasan Basmi Kemiskinan sekiranya tidak dilantik sebagai pengerusi merupakan satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan pembangunan negeri dan rakyat.

2. Khalid dilaporkan meminta agar beliau dilantik sebagai Pengerusi YBK atau kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek pembinaan UiTM YBK di Serendah, Selangor.

3. Wajarkah kelulusan sesebuah projek pembangunan disyaratkan dengan orang yang memberi kelulusan dilantik mengetuai projek tersebut?

4. Kelulusan projek pembangunan harus mengambil kira laporan kesan alam sekitar, "economy viability", kepentingan kepada rakyat dan negeri. Sebaliknya, piawai baru kerajaan negeri mensyaratkan Menteri Besar menjadi Pengerusi Pemaju sangat tidak beretika dan boleh dianggap pecah amanah (criminal breach of trust) jika diteruskan.

5. Walau apa jua alasan kerajaan negeri Selangor terhadap kegiatan YBK ia tidak harus menghalang satu projek pembangunan yang bukan sahaja menguntungkan YBK tetapi juga negeri secara keseluruhan.

6. Jika dikatakan ada penyelewengan maka laporkanlah kepada pihak berkuasa. Jangan sekadar membuat pelbagai kenyataan yang bombastik hanya sekadar untuk memburukkan orang yang tidak selari atau tidak mahu tunduk kepada kepentingan politik kerajaan negeri hari ini.

7. Saya difahamkan pembangunan UiTM di Serendah akan menempatkan kampus Fakulti Sains yang akan menampung 5, 000 pelajar. Dengan jumlah 5 ribu pelajar ini bersama pensyarah dan kakitangan sokongan, projek ini pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Selangor Utara atau Hulu selangor.

8. Banyak rumah-rumah dan lot perniagaan yang terbiar di sekitar Bukit Beruntung akan kembali maju. Malahan sejak diuar-uarkan akan dibina kampus UiTM di situ sahaja pasaran hartanah di sekitar Bukit Beruntung sudah kembali menarik minat pasaran.

9. Selebihnya pembangunan UiTM ini akan membolehkan YBK mempunyai dana yang besar untuk terus menjalankan kegiatan membantu masyarakat miskin di Selangor. Sepatutnya kerajaan negeri berbangga kerana Yayasan ini mempunyai perniagaan sendiri yang akan digunakan untuk membantu rakyat miskin di Selangor. Ini sekaligus membantu mengurangkan beban tanggungjawab kerajaan negeri.

10. Hasil dari projek ini juga akan digunakan oleh YBK untuk membayar beberapa tunggakan hutang hasil mereka kepada kerajaan negeri. Ini bermakna dari projek ini juga kerajaan negeri akan mendapat hasil.

11. Jadi saya tidak nampak bagaimana projek ini boleh merugikan rakyat jika kepentingan rakyat dijadikan alasan oleh kerajaan Selangor.

12. Pada hemat saya masih banyak ruang pentadbiran kerajaan negeri yang perlu difokuskan oleh Tan Sri Khalid seperti masalah-masalah Pihak Berkuasa Tempatan, janji kutipan hasil pasir yang masih jauh dari sasaran dan usaha menarik pelaburan asing yang entah ke mana jadinya. Banyak juga janji-janji Pakatan dalam pilihan raya dahulu masih belum ditunaikan.

13. Elok dan molek sekali kiranya Tan Sri Khalid memfokuskan tugas ke arah memajukan negeri berbanding cuba mengambil alih sebuah Yayasan yang telah lama memberi sumbangan kepada negeri Selangor.

sumber ( Dato Khir Toyo )