Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Wednesday, May 18, 2011

Sokongan terhadap Nik Aziz semakin menurun

Kajian dapati Mustapa, Awang Adek dapat perhatian

KOTA BHARU: Kajian pendapat oleh sebuah syarikat perundingan dan penyelidikan, mendedahkan penerimaan rakyat Kelantan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, menurun kepada 48.3 peratus, berbanding 76 peratus pada 2006 kerana beberapa faktor, termasuk penentangan rakyat di negeri itu terhadap kerjasama PAS dengan DAP.
Bagaimanapun, kajian oleh Social Matrix Research (SOCMAT) itu mendapati penerimaan rakyat Kelantan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melonjak kepada 31 peratus berbanding enam peratus pada 2006, manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin meningkat kepada sembilan peratus.

Kaji selidik yang dinamakan Tinjauan Kepekaan Penduduk Tentang Kepemimpinan Kelantan 2011 itu dilakukan pada Mac lalu. Kaji selidik sama pernah dilakukan oleh syarikat berkenaan pada 2006.

Penasihat SOCMAT, Dr Khairudin Damhoeri, berkata kaji selidik juga mendapati pemimpin PAS lain seperti Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, gagal mengulangi pencapaian hebat lima tahun lalu, sekali gus menunjukkan kedudukan PAS untuk mempertahankan Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang amat getir.

Beliau yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang, berkata kaji selidik membabitkan 3,000 responden berumur 21 hingga 102 tahun dan setiap mereka dihubungi sekali lagi untuk pengesahan bagi memastikan integriti hasil kajian.

"Kajian ini tidak memihak kepada sesiapa kerana ia pernah dilakukan pada 2006. Ketika itu kami dapati PAS amat popular dan sukar untuk UMNO mengambil alih kerajaan. Bagaimanapun, kali ini, kaji selidik mendapati Barisan Nasional (BN) sudah mendapat tempat kerana selepas Nik Aziz, populariti adalah kepada Mustapa dan Awang Adek," katanya kepada Berita Harian.
Kajian juga mendapati golongan yang menyukai Nik Aziz adalah yang berusia 51 tahun ke atas dan bawah 30 tahun, manakala Mustapa menerima sokongan mereka yang berusia 30 hingga 50 tahun.

Beliau menegaskan hasil kajian pada 2006 menunjukkan rakyat Kelantan tetap akan memilih PAS walaupun Nik Aziz meletakkan jawatan ketika itu.

“Bagaimanapun, kali ini, jika Nik Aziz meletak jawatan BN dijangka akan kembali merampas Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai punca kemerosotan sokongan terhadap Nik Aziz, beliau berkata, rakyat Kelantan belum dapat menerima kerjasama PAS dengan pakatan pembangkang, terutama DAP.

Katanya, sebelum ini PAS melaungkan dasarnya menegak Islam dan menentang pihak yang berkawan dengan kafir, tetapi kini parti itu sendiri sudah berbaik dengan DAP yang jelas menentang Islam.

"Faktor kedua adalah perpecahan dalam PAS berikutan ada kem Erdogan, iaitu kepemimpinan profesional seperti Husam dan Dr Hatta Ramli. Selain itu, ada kumpulan kerajaan perpaduan terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Datuk Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali serta kumpulan tradisional yang diketuai Mohamad Sabu.

“Penurunan populariti Nik Aziz juga berpunca daripada menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam kes Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK),” katanya.

Dr Khairudin berkata, isu pelbagai fatwa yang dikeluarkan Nik Aziz, mengelirukan orang Melayu sehingga menyebabkan mereka tidak lagi yakin padanya.

SOCMAT ditubuhkan sebagai badan perunding bebas kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang mahu mendapat nasihat serta penyelidikan berhubung isu masyarakat, politik, sosial, ekonomi dan pasaran. Kaji selidik terbaru itu dilaksanakan menerusi temubual di tempat awam, seperti pasar, masjid dan warung makan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac lalu.

Dr Khairudin pernah bertugas sebagai perunding bebas di Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan pada 2006 dan melakukan kaji selidik terhadap kepemimpinan Kelantan. Beliau juga ditugaskan melakukan analisis keputusan pilihan raya umum pada 2004 dan 2008 mengikut Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk daerah mengundi dan saluran. Kajian berkenaan membabitkan 6,000 daerah mengundi dan 18,000 saluran mengundi yang mendapat pembiayaan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

FAKTA
Keputusan Kaji Selidik Social Matrix Research

* Datuk Nik Aziz Nik Mat – 48.3 peratus
* Datuk Seri Mustapa Mohamed – 31.4 peratus
* Datuk Awang Adek – 9 peratus
* Datuk Mohd Amar Nik Abdullah – 1.8 peratus
* Datuk Husam Musa – 1.6 peratus
* Datuk Mohd Alwi Che Ahmad – 1.3 peratus
* Datuk Mohd Fatmi Che Salleh – 1.1 peratus

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my
2011/05/19
Datuk Nik Aziz Nik Mat

Isu hadiah hari guru - Berlapang dada...

Pemberian hadiah sempena sambutan hari guru yang lalu mendapat reaksi yang pelbagai daripada guru-guru seluruh tanahair.



Beberapa hari sebelum 16 Mei menjelma, dikeluarkan kenyataan bahawa guru akan menerima hadiah yang istimewa sempena hari guru. Apabila tiba masanya hadiah yang diwar-warkan itu mengecewakan hampir keseluruhan warga pendidik. Penambahbaikan kenaikkan pangkat itu hanya dinikmati oleh segelintir pendidik dan kebanyakkannya berstatus pentadbir. Hal ini mengecewakan ramai guru yang mengharapkan sesuatu yang lebih dari itu. Ada juga kumpulan-kumpulan tertentu mendakwa bahawa mereka tidak langsung dihargai dan diberi perhatian.



Hadiah tersebut merupakan penambahan laluan kenaikkan pangkat guru melalui beberapa anugerah sehingga ke gred 54. Begitu juga dengan beberapa 'naik taraf' gred pengetua (tidak termasuk guru besar) dan penolong kanan yang tidak menyeluruh. Keterangan yang lebih jelas mungkin akan dikeluarkan melalui pekeliling perkhidmatan yang akan datang. Situasi tidak menyeluruh inilah yang membangkitkan rasa tidak puas hati kalangan guru.



Kerajaan pula mendakwa walaupun terpaksa mengawal defisit dan perbelanjaan negara masih mendengar keluh kesah warga pendidik. Kenyataan ini seolah-olah bertentangan dengan laporan-laporan di media yang hampir saban hari menyiarkan bahawa keadaan ekonomi berkembang positif, sasaran KDNK 5-6%, kemasukkan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat serta pengukuhan ringgit berbanding dollar Amerika seolah-olah realiti ekonomi negara adalah sebaliknya.



Penulis turut berasa kecewa sepertimana rakan seperjuangan yang lain. Harapan menggunung diletakkan dan hadiah yang diwar-warkan sekurang-kurangnya melegakan sedikit ketegangan dan tekanan akibat kenaikkan harga barang akhir-akhir ini. Tetapi, harapan tinggal harapan.



Namun penulis cuba melihat isu ini dari perspektif yang berbeza. Untuk jangkamasa panjang sebagai guru, penulis yakin dan percaya hadiah yang diberikan itu memberi peluang kepada penulis yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang berbaki lebih 20 tahun. Begitu juga bagi warga pendidik yang secara keseluruhannya masih mempunyai baki perkhidmatan yang hampir sama.



Tidak dapat dinafikan, situasi ini tidak memberi kelebihan kepada guru-guru senior yang telah lama berkhidmat. Paling tidak pun mereka hanya merasa tempiasnya sahaja sementara menunggu waktu pencen. Ia hanya memberi keuntungan kepada guru junior. Inilah adat orang berjuang. Kemanisannya hanya akan dirasai oleh generasi baru. Lihat saja contoh kemerdekaan. Mereka yang berjuang menuntut kemerdekaan hanya menikmati sedikit kemanisan kemerdekaan. Selebihnya dinikmati oleh generasi mendatang. Namun, penulis percaya nikmat kemenangan itu sudah cukup bagi mereka. Malah ia melebihi segala-galanya, mungkin.



Berlapang dadalah, mungkin ganjaran yang diterima bukan dalam bentuk ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Kepada guru-guru baru yang merasakan tidak ada pembelaan untuk gred mereka, apa yang anda perlukan ialah kesabaran. Waktu anda akan tiba. Janganlah merungut tidak tentu pasal sedangkan perkhidmtan baru setahun jagung. Anda pasti akan menikmatinya - dengan berkat usaha yang gigih.



Perjuangan tidak akan terhenti di sini. Berjuanglah menuntut hak kita. Jangan pula kerana isu ini nanti anak didik kita yang menjadi mangsa dek kerana terbawa-bawa kemarahan selepas 16 Mei 2011. Berjuang pula untuk 16 Mei 2012.





shukor

2240

18 Mei 2011