Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Wednesday, December 15, 2010

Terdidik kerana tembikai



Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut. Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: "Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya."

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.a279;

'Membunuh' semangat perjuangan orang Melayu



KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah sia-sia jelas menunjukkan bahawa Mursyidul Am Pas itu cuba mempersenda dan memperlekehkan kedudukan raja-raja Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, ia juga memperlihatkan bahawa Nik Abdul Aziz sebagai ulama yang cenderung mengeluarkan kenyataan yang mampu 'membunuh' semangat perjuangan orang Melayu secara keseluruhannya.

Menurut beliau, golongan ulama sepatutnya berfikiran terbuka, berpandangan jauh serta memberikan idea bagi membina keupayaan umat Islam dan bukannya fatwa sempit berasaskan kepentingan politik semata-mata.

''Kejayaan orang Melayu termasuk yang menyertai parti-parti pembangkang adalah hasil daripada perjuangan UMNO yang berpegang kepada konsep ketuanan Melayu dan Islam.

''Jika tidak kerana UMNO mempertahankan konsep ketuanan Melayu, belum tentu lagi orang Melayu termasuk yang menerajui Pas mampu memegang pelbagai jawatan penting dalam pelbagai bidang.

''Perjuangan UMNO menegakkan ketuanan Melayu tidak bermakna kita meminggirkan Islam, sebaliknya terus diperkasa untuk kesejahteraan umat,'' tegas beliau dalam blognya, umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyifatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah perjuangan yang sia-sia.

Jelas beliau, tindakan melaung- laungkan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, konsep ketuanan Melayu telah disepakati sejak turun-temurun dengan kedudukan institusi raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam tetap dipertahankan.

''Ini jelas menunjukkan UMNO sebagai parti terbesar mewakili orang Melayu sentiasa menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya. Orang Melayu di negara ini secara semulajadinya adalah beragama Islam dan apabila hak dan keistimewaan mereka dipertahankan bermakna merangkumi kedudukan syiar Islam itu sendiri,'' ujarnya.

Oleh sebab itu, katanya, pembangunan umat dan perkembangan syiar Islam di negara ini sejak selepas merdeka adalah hasil perjuangan UMNO dan turut menjadi agenda penting dalam dasar pembangunan negara.

Sedangkan Pas, jelasnya, hanya menggunakan agama sebagai alat untuk memancing undi orang Melayu sehingga tergamak mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk mengkafirkan orang Islam yang menyokong UMNO.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang berfikiran sempit dan lupa sejarah.

''Sepatutnya, sebagai pemimpin, pemikiran kena luas. Jika tidak ada perjuangan ketuanan Melayu, kita tidak akan mencapai kemerdekaan dan sudah tentu beliau tidak akan menjadi Menteri Besar pada hari ini. Lupakah beliau apa yang berlaku kepada nasib bangsa kita semasa zaman penjajah? Nik Abdul Aziz jangan lupa sejarah.

''Seperkara lagi, jika tiada perjuangan ketuanan Melayu dahulu, mungkin pada hari ini orang Melayu tidak akan merasa hendak jadi Menteri Besar, tidak ada Universiti Islam Antarabangsa, tidak ada Tabung Haji, Felcra atau Jabatan Agama Islam,'' tambahnya.

Sumber : Utusan Malaysia 16/12/2010

Thursday, December 9, 2010

Pas tersasar jauh sanggup belakangi ayat al-Quran, hadis



KOTA BHARU 8 Dis. - Pas telah tersasar jauh daripada perjuangan asalnya sehingga sanggup membelakangi ayat-ayat Allah dengan menjadikan orang bukan Islam sebagai rakan seperjuangan.

Mudir Pondok Pok Kerai, Mohamed Zainal Abidin Awang berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan tidak kisah sekiranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri nyata terpesong daripada ajaran al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, Pas lebih mementingkan sekutu politiknya sehingga sanggup menjual serta membelakangi ayat-ayat al-Quran dan sekiranya tindakan itu dibiarkan tidak mustahil Malaysia akan dijual oleh golongan Melayu yang mendakwa faham agama tetapi daif mengenai hakikat Islam dan ketuanan bangsa.

"Justeru itu, saya mewakili masyarakat pondok tradisional menyeru pemimpin Islam bangkit menyedarkan pemimpin Pas ini bahawa tindakan mereka itu menjurus kepada kehancuran.

"Saya amatlah terharu kerana berlakunya kemungkaran besar yang telah dilakukan oleh pemimpin Pas terhadap bumi Malaysia di mana mereka tergamak untuk mengambil orang bukan Islam sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian terbaru Nik Abdul Aziz mengenai pelantikan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.

Dalam blog www.blogtokguru.com, Mursyidul Am Pas itu menyatakan, Kit Siang boleh dilantik ke jawatan itu dengan syarat beliau mesti merupakan seorang Muslim yang soleh.

"Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekali pun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah," katanya dalam blog berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam wawancara akhbar Sin Chew Daily berjanji memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Kit Siang jika pakatan pembangkang menangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Mohamed Zainal Abidin berkata, tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sekarang jelas menunjukkan bahawa beliau amat mementingkan kuasa daripada perjuangan sebenar untuk menegakkan Islam.

"Apa yang dilakukan Pas hanya untuk terus bertahan dan membalas dendam terhadap UMNO kerana perjuangan mereka tidak diterima rakyat," katanya.

Sumber : utusan malaysia 09/12/10

'Politik sesumpah Pas kian terserlah'

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pendirian barisan pemimpin tertinggi Pas yang bertentangan antara satu sama lain mengenai beberapa isu sejak kebelakangan ini mencerminkan wajah sebenar parti itu yang mengamalkan politik 'sesumpah'.

Bekas Felo Pusat Syariah Undang- Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, pendirian berbeza merupakan perkara biasa bagi sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik yang mendukung demokrasi.

Bagaimanapun katanya, sekiranya percanggahan tersebut melibatkan perkara-perkara penting termasuk asas perjuangan parti sendiri, ia jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai prinsip yang jelas seperti yang diuar- uarkannya selama ini.

"Perbezaan pendapat pemimpin tertinggi Pas mengenai cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri ibarat membuka pekung di dada kerana ia jelas memperlihatkan mereka tidak sehaluan.

"Selain itu, pendirian berubah-berubah dalam beberapa isu terdahulu yang membabitkan prinsip parti itu membuktikan teori saya bahawa pendekatan Pas semakin mirip dengan 'sesumpah' yang boleh bertukar warna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju dengan cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat bagi menubuhkan kerajaan pada masa depan.

Persetujuan itu bagaimanapun bukannya sebulat suara oleh barisan pemimpin tertinggi Pas yang lain apabila ada yang mendakwa tidak tahu menahu mengenainya, termasuk Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yaakob mempertahankan Nik Abdul Aziz apabila menyatakan persetujuan beliau meskipun Ketuanya, Datuk Harun Taib tidak bersetuju.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zaini Abu Bakar berkata, pendirian berbeza barisan pemimpin tertinggi Pas bukan sahaja menonjolkan kelemahan parti, malah mengelirukan penyokong sendiri.

Kredibiliti parti itu tambahnya, semakin diragui apabila Mursyidul Amnya sendiri mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak konsisten mengenai satu isu yang sama.

"Beliau kini kerap mengeluarkan pendapat yang berbeza mengikut keadaan. Jika hari ini, di hadapan orang ini, beliau berkata begini. Esoknya, di hadapan yang lain, beliau berkata begitu pula.

"Beliau juga dilihat kerap tidak bersetuju dengan Presiden Pas dan barisan pemimpin lain dalam beberapa isu. Kalau berterusan, bagaimana orang bawah hendak yakin dengan kepimpinan mereka," katanya.

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

Wednesday, December 8, 2010

Perihal Kahwin yg Bertentangan Dengan Islam



Sekarang ini adalah musim cuti sekolah dan dalam musim cuti sekolah seperti ini, tauke khemah, tauke ayam, tauke daging, mak andam dan tauke telur ayam selalunya tersenyum lebar kerana pendapatan mereka meningkat maklumlah ramai orang membuat majlis kenduri kahwin.

Dari semasa ke semasa kita juga diminta terlibat apabila saudara mara mengadakan majlis kenduri kahwin.

Kali ini apa kata kita membincangkan perihal majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.

Perihal 1:

Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?

Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan dari Al Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulamak tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Perihal 2:

Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.

Apa yang kita lihat dari majlis bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan mengatakan mereka itu adalah kawan-kawan syaitan.

Disini kita faham, membazir itu sangat dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu membazir? Erti membazir itu ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan. Menggunakan nikmat dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk disedekahkan kepada anak yatim bukan membazir kerana ia dilakukan kerana Allah.

Menyewa dan memasang peralatan pelamin lengkap dengan pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini adalah satu pembaziran.

Perihal 3:

Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?

Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang, beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya ke tong sampah! Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5 keping yang bersaiz besar untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan pengantin lelaki dan pihak tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah bawa pizza.

Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.

Perihal 4:

Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bermake up di majlis persandingan ini?

Antara jawapannya mungkin ialah:

1. Supaya aku kelihatan cantik menarik

2. Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik

3. Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku

4. Mungkin untuk menutup kecacatan di muka saya seperti jerawat dan jeragat

5. Engkau ingat aku ni tak cantik ke?

6. Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.

Perihal 5:

Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?

Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”

Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:

1. Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00

2. Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.

3. Orang yang lebih miskin dari aku pun berani belanja lebih RM20,000.00 untuk majlis kenduri kahwin. Tak kan aku dengan gaji lebih besar dari dia tak sanggup belanja lebih RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!

4. Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status aku sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.

5. Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.

6. Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri aku ini. Barulah seronok.

7. Kalau aku keluar belanja RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00 bolehlah dapat keuntungan dari majlis kenduri kahwin ini.

Perihal 6:

Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan bayaran yang tinggi?

Bayaran hantaran belanja yang tinggi tidak pernah disarankan oleh Islam. Sebagaimana telah kita diperjelaskan dalam perihal 1 di atas, Islam menggalakkan mahar yang rendah semoga memudahkan proses perkahwinan.

Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:

1. Menilai status keluarga dan pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini. Lagi tinggi status keluarga, lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak dara yang ingin dikahwini ini sekadar minah kilang, murahlah sikit hantaran belanja. Kalau ada degree apatah lagi kalau berjawatan tinggi seperti doktor atau jurutera atau pensyarah, kenalah letak hantaran belanja yang tinggi. Kalau artis kenalah lagi tinggi.

2. Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.

3. Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!

4. Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.

5. Aku sudah membelanjakan sekian banyak duit untuk membesarkan dan mendidik anak perempuan aku. Siapa nak kahwin dengannya kenalah sanggup keluar duit yang tinggi. Nak beli lembu seekor pun sudah lebih dari RM2000 ini kan pula anak aku!

Sebenarnya dengan meletakkan hantaran belanja yang tinggi, inilah dia tujuan sebenarnya yang tidak disedari atau dengan disedari:

1. Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.

2. Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu

3. Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.

4. Agar anak lelaki lupa tanggung jawab kepada ibu bapanya yang telah membesarkan dan mendidik untuk sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat degree nak kahwin, nak beri duit kepada ibu bapa sudah tiada lagi maklumlah kena menabung untuk membayar kos berkahwin yang gila habis. Bukan cukup RM15,000.00 untuk kahwin. Itu belum masuk lagi duit ansuran kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.

5. Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin

6. Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA

7. Agar selepas kahwin pasangan ini hidup melarat maklumlah hutang keliling pinggang. Bolehlah kelak selalu berperang suami isteri bila dah bengang.

Perihal 7 :

Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan?

Bila kos makanan tetamu sahaja sudah mencecah lebih daripada RM15,000.00, tuan rumah mulalah naik risau kelak kalau waktu majlis kenduri kahwin hujan ribut dari pagi sampai petang, orang ramai tak datang, macam mana dengan makanan yang berlebihan dan paling penting tentunya duit sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah. Bagi mempastikan hari kenduri kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:

1. Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.

2. Mengamalkan pelbagai petua orang Melayu seperti membuang pakaian dalam pengantin ke atas bumbung, meletakkan payung secara terbalik lalu meletakkan air ke dalam payung terbalik tersebut

3. Berbagai amalan karut marut lain

Mudahnya orang Melayu untuk sesat. Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu dibalas pula oleh manusia dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil bomoh tolak hujan adalah sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di atas juga adalah sesat.

Secara mudahnya tetapi sukar untuk dilaksanakan ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak mengirimkan hujan pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah solat sunat terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara terus, insya Allah majlis tersebut tidak turun hujan.

Perihal 8 :

Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat? Astagfirullah...

Majlis kenduri kahwin adalah majlis memberi makan kepada orang miskin dan tetamu lain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat kenduri besar, buatlah sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih seekor kambing. Jemputlah orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat dan saudara mara terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam sebagaimana majlis aqiqah apabila dapat anak.

Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:

1. Membayar wang yang banyak kepada DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran dan penyanyi. Ini namanya mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila baca artikel berkaitan muzik bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian menurut Islam di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40 . Membazir sudah satu dosa. Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh orang perempuan adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.

2. Bergilir-gilir anak dara belajar buat dosa iaitu menyanyi secara karaoke. Inilah platform yang amat cantik untuk menjadi penyanyi macam Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa dengan menyanyi.

3. Orang lelaki pula seronok mendengar nyanyian secara karaoke oleh anak dara. Redha dengan perbuatan ini adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang besi cair ke telinga.

4. Inilah masa bagi anak dara menayang body dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih baik lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah... .

5. Bagi wanita yang sudah berkahwin, ada yang menjadikan majlis ini untuk menunjukkan bahawa badannya masih cantik walaupun sudah ada anak dengan memakai pakaian pelbagai fesyen yang jauh dari kehendak Islam.

6. Menjadikan majlis kenduri kahwin sebagai majlis pesta fesyen pakaian. Ada yang terbelah mendedah peha, ada yang low cut mendedahkan buah dada yang membulat dan sebagainya.

7. Pesta bagi wanita menunjukkan kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran takut dimalukan.

8. Kalau dikampung dimana masak memasak diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat seronok iaitu PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali dikalangan orang perempuan, Astagfirullah... .

9. Tidak cukup dengan muzik dan nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita, Astagfirullah... .

10. Disetengah tempat, majlis kenduri kahwin adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana tuan rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup menjadi penanggah.

Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.

Islam menyarankan majlis kenduri kahwin tetapi realitinya majlis kenduri kahwin kini menjadi satu majlis yang mengundang pelbagai dosa, bagaimanalah Allah nak memberikan rahmatNya kepada pengantin yang baru berkahwin ini.

Sekian wassalam wallahualam

Sumber : http://hakaluka.blogspot.com/2010/12/perihal-kahwin-yang-bertentangan-dengan.html

Tuesday, December 7, 2010

Pertikai hak istimewa derhaka

KUALA KANGSAR 7 Dis. - Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.

Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.

''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

''Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Perak di Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta kerabat-kerabat diraja yang lain.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sultan Perak juga mengingatkan umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

''Amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

''Jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan," titah baginda.

Tegas Sultan Azlan, keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam dan orang Melayu hari ini bukannya ibarat ''pipis datang melayang atau bulat datang menggolek'' sebaliknya mempunyai kisah perjuangan yang panjang.

''Keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelosok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan.

''Pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci, meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam daripada sebarang usaha pemesongan," titahnya.

Baginda menekankan betapa perlunya masyarakat Melayu insaf bahawa sesuatu keistimewaan itu tidak mungkin kekal selamanya apatah lagi jika mereka gagal menghargainya.

Dalam titahnya, baginda memberi contoh penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang akhirnya memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia berlandaskan nilai-nilai yang diredai.

''Nyatalah, peristiwa hijrah telah mencetuskan satu perubahan penting kepada umat Islam. Peristiwa hijrah merakamkan berlakunya transformasi.

''Hijrah adalah titik peralihan membolehkan umat Islam membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama Islam sehingga ummah berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar," titah baginda.

Maka itu, titah baginda, sambutan Maal Hijrah hendaklah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah diri untuk tidak mengulangi setiap kesilapan sebaliknya bertawaduk dan mencari keredaan Allah.

Sumber : Utusan Malaysia 8/12/2010

UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional




KUALA LUMPUR: UMNO menolak dakwaan wujud 'big brother' dan 'small brother' dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya pengaruh, kuasa dan haknya sebagai parti terbesar dan terkuat dalam gabungan itu kerana memiliki kerusi terbanyak di Parlimen memberinya pengaruh serta kuasa yang setimpal.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata politik adalah perjuangan berasaskan bilangan, kepentingan dan kedudukan Presiden UMNO selaku Perdana Menteri yang tidak boleh disamakan dengan presiden parti lain dalam BN.

“Memang tidak ada istilah 'abang besar' dalam BN tetapi Pengerusi BN tetap memiliki 'residual power' (kuasa lebihan) dan 'residual influence' (pengaruh lebihan) dari sudut perundangan dan kekuatan legislatif, dua ciri yang Dr Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan partinya (MCA) tak ada.

“Sejak Tunku Abdul Rahman hingga Najib, ia tidak pernah hilang atau digadaikan. Oleh itu kuasa Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO tidak terjejas dan tak pernah hilang.

“Pendapat Dr Chua itu adalah pendapat egalitarian (orang yang mendukung fahaman egalitarisme (fahaman bahawa semua orang sama rata) dan bersifat sosialisme tanpa mengambil kira fakta dan sejarah Parti Perikatan dan BN selama ini,” katanya.

Ahad lalu, Dr Chua ketika berucap di Konvensyen BN, menyarankan amalan ‘big brother’ (UMNO) atau `small brother’ (parti komponen lain) dalam BN dihapuskan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata BN memerlukan seorang pemimpin yang bertindak sebagai nakhoda dan pemimpin itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tetapi pada masa sama UMNO mendengar suara parti komponen lain.

“Kita perlu bersama membina negara ini. BN adalah barisan 1Malaysia,” katanya yang menyifatkan persepsi `big’ atau `small brother’ itu mungkin disebabkan UMNO mewakili Melayu dan Bumiputera iaitu dua pertiga atau 67 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, berkata Wanita BN akan meneliti saranan itu secara serius kerana ia menggambarkan rasa tidak puas hati parti lain terhadap peranan UMNO dalam BN.

Sambil menolak wujudnya konsep ‘big’ atau `small brother’ dalam BN, Kamilia berkata peranan UMNO sebagai `nakhoda’ mengemudi BN diiktiraf sejak dulu lagi.
“UMNO tidak pernah membuli atau bertindak sebagai abang,” katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata UMNO sentiasa menghormati parti komponen lain yang turut memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

“UMNO juga tidak pernah menganggap dirinya sebagai `big brother’ dan parti komponen lain sebagai ‘small brother’,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata konsep abang dan adik hanya persepsi, sebaliknya dalam BN istilah ketua atau nakhoda adalah lebih tepat untuk menggalas tugas menjaga satu keluarga besar.

Sumber : Berita Harian 08/12/2010