Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Saturday, January 1, 2011

Tahun 2011

Pejam celik, kita dah masuk ke ambang tahun baru. Aku pula semakin hari semakin lanjut umur. Ramai orang menyambut tahun baru dengan meriah sekali, tetapi bagi aku tahun baru sama seperti hari-hari biasa. Tiada bezanya, kerana kita tetap melakukan benda yang sama berulang-ulang tanpa aku sedarinya. tahun baru tidak bererti semuanya berubah dan aku pon begitu. banyak pekara yang masih tidak dapat ku capai, banyak lagi yang ingin aku lakukan dalam hidup ini. tapi nampaknya banyak perkara yang membataskan impian aku, tapi aku akan berusaha untuk mencapainya juga, walaupun aku anggap ianya agak mustahil. kuharap semoga rakan-rakanku dapat membantu aku menjayakan impian yang tidak berkesudahan ini.

Tuesday, December 28, 2010

cita cita yang tidak pernah menjadi



Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, 'ya' inilah bidang yang mereka ingin ceburi.

Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.

Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan.

Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah 'tidak!'

Okeylah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!

Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?

Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.

Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya)

samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)

di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

~ Al- Hadid: 20

Justeru itu, janganlah terlalu berbangga
bila memperoleh apa yang diimpikan.
Jangan pula meraung sakan andainya
apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.
Segala-galanya adalah
hak Pencipta seluruh alam ini.

sumber - Artikel iluvislam.com

Mumia Firaun Temukan Dr Maurice Dengan Islam



PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?


Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah

sumber : http://hakaluka.blogspot.com/2010/12/mumia-firaun-temukan-dr-maurice-dengan.html

Thursday, December 23, 2010

Dokumen tepis fitnah 1Malaysia



KUALA LUMPUR: Pendedahan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan dengan One Israel adalah tindakan telus kerajaan bagi menepis fitnah berterusan dilemparkan pembangkang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata melalui pendedahan itu, rakyat boleh melihat keputusan dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan selepas mengaitkan 1Malaysia dan One Israel adalah tepat dan berdasarkan bukti.
Kerajaan terpaksa mendedahkan dokumen itu kerana wujudnya manipulasi berlebihan di kalangan pembangkang berhubung isu itu yang menyebabkan rakyat menjadi keliru, siapa yang benar.
Tindakan Anwar yang mendakwa beliau tidak diberi peluang membela diri dan menimbulkan kekecohan dalam Parlimen Khamis lalu adalah tindakan terancang yang terdesak kerana sedar beliau tiada bukti dan sudah mula hilang sokongan, katanya
kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan dua dokumen termasuk surat daripada Apco Worldwide (APCO) yang menafikan pembabitan syarikat itu dalam One Israel dan konsep 1Malaysia serta kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen One Israel, Robert M Shrum yang menafikan pembabitan APCO dalam kempen berkenaan.

Minggu lalu, Anwar digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong dengan mendakwa APCO menciplak konsep 1Malaysia, berdasarkan konsep One Israel yang dicipta syarikat itu untuk Israel pada 1999.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussein, berkata pemimpin pembangkang sering mendakwa rakyat tidak percaya dengan kerajaan, sedangkan rakyat bijak menilai dan akan menyokong pihak yang benar.
Pemimpin pembangkang sebenarnya mempunyai sindrom tidak percaya kerana terlalu fanatik dengan Anwar. Rakyat mesti menolak pemimpin seperti ini yang menganggap mereka saja yang betul, katanya.

Felo Kanan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Nidzamudin Sulaiman, berkata pembangkang sengaja mengambil kesempatan mengeksploitasi isu APCO kerana tahu rakyat tidak jelas mengenainya.

Oleh Zanariah Abd Mutalib

2010/12/24

Haram pakai baju samai Santa Claus



JOHOR BAHRU: Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menasihatkan umat Islam supaya tidak memakai pakaian atau perhiasan yang menyamai 'Santa Claus' kerana ia bercanggah dengan seruan Nabi Muhammad.

Katanya, kebanyakan umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama hingga menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas yang disambut penganut Kristian.
Setiap kali menjelang 25 Disember, ada antara orang Islam memakai pakaian itu. Bagi saya, hukumnya haram kerana ia boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang Islam itu.
Baru-baru ini, saya ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara ini malah ada yang meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus, " katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Tahrir berkata, ada sesetengah masyarakat Islam yang bekerja di pusat beli - belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan berkenaan atas kehendak tugas.

Pihak atasan organisasi berkenaan seharusnya sedar dan sedia maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam. Mereka sebenarnya boleh mengarahkan pekerja lain dan sebagai contoh pekerja yang beragama Kristian untuk memakai pakaian terbabit, " katanya.

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2010/12/24

Tuesday, December 21, 2010

'Pembohongan besar untuk tipu rakyat'



PUTRAJAYA 21 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan pakatan pembangkang jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Beliau menganggap kenyataan pembangkang itu sekadar umpan untuk menarik pengundi dengan bermacam-macam tawaran istimewa tanpa membuat perkiraan betul terutama dari segi kewangan.

Sebagai contoh, katanya, jika 400,000 orang guru diberikan imbuhan bulanan sebanyak RM500, ini bermakna kerajaan pembangkang perlu membelanjakan RM200 juta sebulan dan jika diukur setahun ia membabitkan kos RM2.4 bilion.

''Dia kata ada duit jadi kita bacalah (andaikan) tapi implikasinya kalau naik gaji guru tapi tak naik gaji pegawai kerajaan lain yang berjumlah 1.2 juta orang, macam mana?

''Apakah guru sahaja ditawarkan, kenapa tidak tawarkan kepada yang lain? Kalau semua dinaikkan gaji, setahun sudah berapa, darabkan dengan beberapa tahun, boleh bankrap kita," soal beliau.

Muhyiddin mengulas kenyataan pakatan pembangkang yang dalam konvensyen mereka di Pulau Pinang Ahad lalu mengemukakan Program 100 Hari yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan untuk menghapuskan tol, merombak subsidi kepada swasta dan menaikkan imbuhan guru sebanyak RM500.

Menurut beliau, pembangkang boleh berkata apa sahaja kerana mereka tidak mempunyai pengalaman mengepalai Kerajaan Pusat berikutan setiap keputusan memerlukan kajian, penelitian dan kesan tempoh masa panjang.

''Cakap tu kenalah teliti dan mendalam, jangan kerana nak tarik sokongan rakyat lepas itu katalah...Nauzubillah dia memang (pilihan raya) dan tak boleh kotakan janji, dia akan kata pula tak kan kita nak naikkan gaji guru.

''Kakitangan kerajaan lain takkan nak berdiam diri, tuntutan persatuan-persatuan lain lagi, takkan ada yang akan cakap, tak apa, dia boleh naik (gaji) kami tak naik pun tak apa," katanya dalam nada sinis.

Muhyiddin menambah, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan terikut-ikut dengan kerenah pembangkang kerana BN boleh kekal dalam keadaan yang cukup baik serta semua pihak dapat dinikmati kemajuan.

Justeru, kata beliau, rakyat perlu lebih teliti supaya tidak termakan dengan tawaran pembangkang.

Sementara itu mengulas mengenai kewujudan banyak parti baru seperti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak yang berkemampuan boleh bertanding dan mendaftarkan pertubuhan politik mereka.

''Lebih ramai lebih meriah, sebab rakyat ada banyak pilihan tetapi bagi kita ia tidak menggugat kerana kebanyakan yang wujud boleh bertahan satu penggal sahaja, sebab tidak ada idealogi, pemimpin mereka pun macam yang kita lihat sekaranglah tidak ada pandangan dan visi jelas untuk negara.

''Tidak seperti BN, Perdana Menteri sudah gariskan kerangka untuk membawa negara berpendapatan tinggi dan maju tapi pembangkang tak ada perancangan hendak membawa pembaharuan ekonomi atau membentuk negara," katanya.

Monday, December 20, 2010

IMUWAN ISLAM : ANWAR CUKUP MERBAHAYA !



Kumpulan Persatuan Islam hari ini mengadakan wacana sehari di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, bertemakan Membanteras “Gerakan Pluralisme Agama dan Permutadan Ummah”, anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( Muafakat), Majlis permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM).

” Program ini merupakan respon kepada ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Pluralisme pada 18 Mac 2010 di London School of Economic (LSE) ” Kata Pengarah Program, Ustaz Ismail Mina dari pertubuhan Muafakat serta mengkritik penyertaan dan ucapan Anwar dalam persidangan pluralisme itu. Klik di sini

Teks ucapan penuh Anwar yang sebelum ini pernah disiarkan di blognya (anwaribrhimblog) telah ditarik balik [klik di sini] setelah mendapat kritikan daripada tokoh-tokoh agamawan Malaysia di antaranya, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Difahamkan, Anwar terpaksa menarik balik ucapan penuh di LSE pada 18 Mac lalu di blognya kerana telah menerima surat tunjuk sebab daripada pihak JAKIM. Anwar dikatakan tidak menjawab surat JAKIM itu sebaliknya menarik siaran ucapan di blognya itu.

“Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hicks dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir”, kritik Uthman El-Muhammady yang menggambarkan perubahan pola pemikiran Islam Anwar dari fundamentalis kepada pluralisme.

“Orang yang berkepercayaan seperti John Hicks dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ (semakin pudar) dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ (dari orang-orang yang berkeyakinan) dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic (ragu-ragu tentang kewujudan Tuhan), dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya.

Pegangan seperti ini membawa kita terlintas persamaannya dengan golongan zindik (meyakini kekufuran atau atheis) zaman klasik ” kritiknya lagi. Klik di sini

John Hicks merupakan ahli falsafah Eropah yang memperkenalkan konsep Pluralisme Agama yang terpengaruh dengan konsep pencerahan agama (enlightenment) yang pernah dipelopori oleh Immanuel KantJohn Locke. Klik di sini


Anwar Ibrahim sewaktu berucap atas tajuk “Religion and Pluralism in a Divided World” (Agama dan Pluralisma dalam Dua Dunia) di LSE, London pada 18 Mac 2010 lalu dengan penuh yakin telah mempromosi Pluralisme Agama sebagai satu method untuk menyatukan krisis yang wujud ekoran kepelbagaian agama di dunia hari ini.

Ucapan Anwar dipengerusikan oleh John Sidel, seorang pengalisis politik United Kingdom. Sidel sebelum ini pernah menggambarkan perwatakan Anwar Ibrahim adalah sama dengan Nurcholish Madjid, pengasas Islam Liberal Indonesia.

“Pada pertengahan 1990-an di Indonesia dan Malaysia, para pemikir Islam seperti Anwar Ibrahim dan Nurcholish Madjid yang menawarkan suatu janji politik Islam modenis yang mencampurkan teknologi moden dan demokrasi dengan ajaran-ajaran moral kepercayaan”, kata John Sidel, dalam dalam kertas kerja ‘De-demonizing Southeast Asian Islam’ yang ditulis oleh Michael Vatikiotis.

Pentingnya persidangan pluralisme itu, sehinggakan Anwar sanggup meninggalkan sidang parlimen yang sedang berlangsung ketika itu semata-mata untuk memenuhi undangan Barat itu. Klik di sini

Disebabkan kepercayaan Anwar itu dalam ucapannya Anwar telah mengkritik umat Islam yang didakwanya jumud dan takut dengan idea Pluralisme Agama.

“Sebagai umat Islam, ia akan terus menjadi masalah orang-orang yang menolak nilai kebebasan bercakap, kebebasan berpesatuan, demokrasi, dan kebebasan hati nurani.

Mereka melihat budaya pluralisme agama sebagai sebahagian daripada konspirasi besar oleh ‘orang lain’ terutama orang Kristian untuk memurtad dan menukarkan akidah kelompok Muslim. Pluralisme juga merupakan taktik penyeludupan demokrasi gaya Barat melalui pintu belakang.” sindir Anwar.

Pelbagai persoalan dibangkitkan Anwar. Dari soal kebebasan beragama, hukaman rotan kepada Kartika Sari, model yang minum arak, isu kalimah Allah hinggalah peraturan hukuman syariah.

Anwar juga telah memanipulasikan makna ‘Maqasid Syariah’ (Objektif Perundangan Islam) untuk membuktikan idea yang dilontarkannya adalah selari dengan tuntutan Islam. Walhal, Anwar memperalatkan ‘Maqasid Syariah’ untuk mencapai agenda Barat yang lebih besar iaitu Pluralisme Agama.

Sebagai respon daripada gagasan idea Anwar itu, Dr. Osman Bakar, Presiden Muafakat menggesa umat Islam di Malaysia berusaha membendung Pluralisme Agama dan Pemurtadan Agama yang bakal berlaku di negara ini.

“Sebab itu kami adakan wacana sehari ini untuk menghebahkan bahaya Pluralisme Agama”, kata Dr Osman dalam ucap utamanya.

Dr. Anis Thoha dalam sesi perbincangan turut menyebut asal usul Pluralisme agama.

“Pluralisme Agama merupakan fahaman yang lahir dari rahim demokrasi kerana prinsip demokrasi yang menekankan nilai-nilai kesamaan, kesetaraan dan hak asasi manusia”, katanya.

“Pluralism Agama ini kini merupakan Agama Baru yang kian tersebar pesat”, katanya lagi.

Beberapa tokoh agamawan akan turut serta membentangkan kertas kerja masing-masing dalam wacana hari ini. Mereka adalah Dr. Anis Thoha, Pensyarah Usuludin dan Perbandingan Agama , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Ustaz Dr. Muhamadi Uthman El –Muhamady , Felow Amat Utama International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC); Prof. Idris Zakaria, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya, dan Dr Yusri Mohamed Pensyarah Kuliyah undang-undang , Universiti Islam Antarabangsa