Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Saturday, November 15, 2008

Kasih: Latihan untuk OKU

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my


MERAIKAN hari jadi pelatih antara program sampingan bagi mengeratkan hubungan.

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bantu keluarga didik si kecil berdikari apabila besar

USAHA kerajaan menubuhkan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara yang berfungsi sebagai pusat pemulihan untuk orang kurang upaya (OKU) agar dapat belajar kemahiran diri dan mampu berdikari bagi menempuh kehidupan harian, ternyata banyak memberi manfaat kepada golongan istimewa berkenaan dan juga keluarga mereka.

Pusat kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bukan saja membolehkan OKU mendapatkan pemulihan dan belajar kemahiran tanpa perlu tinggal di pusat berkenaan, bahkan turut membentuk masyarakat penyayang serta mewujudkan perkongsian pengalaman, pengetahuan dan idea, khususnya di kalangan ibu bapa atau keluarga yang mempunyai ahli keluarga OKU.

PDK Hulu Kelang terletak di Dewan Orang Ramai, Taman Al-Ridhuan, Ampang yang ditubuhkan sejak 2002 antara contoh PDK berjaya direalisasikan dengan sokongan serta kerjasama masyarakat setempat. Walaupun tanpa mempunyai bangunan sendiri, PDK Hulu Kelang masih berupaya menjalankan beberapa program seperti menyediakan perkhidmatan latihan, pemulihan dan pembelajaran kepada OKU supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup maksimum.

Penyelianya, Suhaila Abdul Manaf, berkata pada awal penubuhan PDK Hulu Kelang ia hanya beroperasi di Balai Raya Rukun Tetangga di Taman Permata. Setahun selepas itu, berpindah ke Dewan Orang Ramai, Taman Al-Ridhuan yang mempunyai ruang lebih luas dan selesa bagi memudahkan menjalankan aktiviti.

Suhaila berkata, kewujudan pusat berkenaan sememangnya memberi faedah kepada keluarga yang mempunyai anak OKU kerana ia membantu membina keyakinan serta harga diri OKU agar tidak perlu terlalu bergantung kepada keluarga bagi menjalani kehidupan pada masa akan datang.

Katanya, ibu bapa juga tidak boleh lagi malu dan menyembunyikan hakikat mereka mempunyai anak kurang upaya, sebaliknya tabah menghadapi cabaran terbabit di samping, berusaha mencari jalan untuk membantu mendapat kualiti kehidupan lebih baik.

"Kebiasaannya OKU amat kurang diberi perhatian dan sentiasa terbiar atau terkurung di rumah tanpa menjalankan apa-apa aktiviti dan tidak mendapat pemulihan serta pembelajaran yang sesuai. Oleh sebab itu kecacatan mereka menjadi semakin teruk dan pemulihan amat sukar dilakukan apabila umur mereka semakin meningkat.

"Melalui pusat ini dan dengan bantuan kakitangan mahupun sukarelawan, OKU didedahkan kepada sistem latihan pemulihan dan pembelajaran yang sesuai mengikut keadaan mereka supaya boleh berdikari. Selain itu ibu bapa atau ahli keluarga OKU juga diberi latihan dan tunjuk ajar supaya mereka dapat menyambung latihan pemulihan yang disediakan dan cara pembelajaran yang diselaraskan oleh guru untuk anak mereka di rumah," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Program Khidmat Masyarakat yang diadakan di pusat itu, baru-baru ini.

Program berkenaan anjuran PDK Hulu Kelang bersama pelajar program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

PELAJAR Program Pendidikan khas, Fakulti Pendidikan UKM gembira dapat menyumbangkan alat bantu mengajar yang dibuat sendiri kepada PDK Hulu kelang.

Suhaila berkata, sehingga kini pelatih OKU yang mendaftar di PDK Hulu Kelang ialah seramai 56 orang dan mereka datang dari sekitar Ampang, Pandan Indah serta Wangsa Maju. Tiada had umur ditetapkan dan pada masa kini pelatih yang mendaftar di pusat itu berusia dalam lingkungan setahun hingga 31 tahun dengan ketidakupayaan yang pelbagai termasuk cacat anggota, terencat akal dan sindrom down.

"Kebanyakan yang datang ke sini golongan keluarga yang berpendapatan sederhana. Menjadi harapan kami agar setiap peserta yang datang ke sini mempunyai peningkatan dari semasa ke semasa. Misalnya, dengan memberikan latihan, pemulihan dan pembelajaran asas kepada peserta ia membolehkan mereka memasuki sekolah khas atau pusat yang berkaitan dengan kemampuan mereka," katanya.

Pada masa kini pusat itu mempunyai lima guru terlatih dan dua tenaga sukarelawan. Program yang dijalankan antaranya ialah praakademik, akademik, pemulihan anggota, pemulihan pertuturan, pemulihan cara kerja dan latihan pravokasional. Aktiviti yang dijalankan merangkumi di dalam dan luar kelas seperti penjagaan diri, perkembangan sosial dan aktiviti motor kasar serta halus, di samping permainan, sukan, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan.

Suhaila berkata, pembelajaran setiap OKU adalah berbeza dan memerlukan alat bantu serta peralatan yang juga berbeza. Justeru, banyak alat bantu mengajar diperlukan. Pada masa sama, keluasan kawasan pusat juga penting agar memudahkan pergerakan dan membolehkan ibu bapa turut serta setiap kali sesi latihan dan pembelajaran diadakan.

"Jika boleh, kami ingin memiliki bangunan sendiri bagi melancarkan dan memperluaskan lagi aktiviti seperti mengadakan bengkel kraf tangan, kursus serta permainan dan sukan. Keluasan yang lebih besar juga membolehkan kami menampung kehadiran dan penyertaan ibu bapa atau penjaga dalam setiap aktiviti. Ini penting melalui pembabitan secara langsung mereka akan lebih faham dan dapat membantu menyambung latihan untuk anak di rumah.

"Oleh itu, kami berharap sokongan individu dan syarikat korporat bagi merealisasikan hasrat itu. Selain itu kami juga mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan, khususnya yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam membantu OKU, tampil bagi menyumbangkan tenaga," katanya.

INFO: Pusat PDK Hulu Kelang

· Ditubuhkan: Pada 20 Mei 2002

· Fungsi: Memberi pemulihan dan pembelajaran yang sesuai untuk golongan orang kurang upaya.

· Pendekatan: Program berpusat
Program di rumah
Program di pusat dan rumah

· Lokasi: Dewan Orang Ramai, Blok A Taman A--Ridhuan, Jalan Hulu Kelang, 68000, Ampang

· Tel: 03 41079162

Program dekati masyarakat

"MENDEKATI mereka membuatkan saya lebih mengerti kepayahan yang dihadapi golongan orang kurang upaya (OKU) dan mendapat banyak iktibar serta bersyukur dilahirkan sebagai insan normal," kata Abdul Rahman Usman.

Abdul Rahman adalah antara 10 pelajar Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang terbabit dalam Program Khidmat Masyarakat selama empat minggu yang dijalinkan dengan PDK Hulu Kelang.

Sepanjang program itu, Abdul Rahman, 20, dan rakan lain menyumbang tenaga seperti membantu mengecat pusat berkenaan dan mencari sumbangan untuk membuat alat bantu mengajar bagi kanak-kanak OKU yang mendapatkan pemulihan di situ.

"Kami datang sekali seminggu dan menghabiskan masa sekurang-kurang empat jam sehari di pusat ini. Pengalaman ditimba cukup bermakna." katanya.

Rakannya, Razali Chokarris, 21, pula berkata, program yang dijalinkan bersama PDK Hulu Kelang dan disertainya amat bersesuaian dengan bidang pembelajaran yang diikuti, sekali gus memberikan pendedahan dan boleh dijadikan persediaan awal untuk mengenali lebih dekat golongan OKU sebelum memulakan tugas sebagai pendidik kelak.

"Program PDK sewajarnya diperluaskan di seluruh daerah bagi membantu mengupayakan golongan OKU. Sebagai bakal pendidik, saya dapati kanak-kanak OKU yang ingin masuk sekolah perlukan intervensi awal supaya mereka dapat menyesuaikan diri," katanya.

No comments: