Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Wednesday, May 18, 2011

Isu hadiah hari guru - Berlapang dada...

Pemberian hadiah sempena sambutan hari guru yang lalu mendapat reaksi yang pelbagai daripada guru-guru seluruh tanahair.



Beberapa hari sebelum 16 Mei menjelma, dikeluarkan kenyataan bahawa guru akan menerima hadiah yang istimewa sempena hari guru. Apabila tiba masanya hadiah yang diwar-warkan itu mengecewakan hampir keseluruhan warga pendidik. Penambahbaikan kenaikkan pangkat itu hanya dinikmati oleh segelintir pendidik dan kebanyakkannya berstatus pentadbir. Hal ini mengecewakan ramai guru yang mengharapkan sesuatu yang lebih dari itu. Ada juga kumpulan-kumpulan tertentu mendakwa bahawa mereka tidak langsung dihargai dan diberi perhatian.



Hadiah tersebut merupakan penambahan laluan kenaikkan pangkat guru melalui beberapa anugerah sehingga ke gred 54. Begitu juga dengan beberapa 'naik taraf' gred pengetua (tidak termasuk guru besar) dan penolong kanan yang tidak menyeluruh. Keterangan yang lebih jelas mungkin akan dikeluarkan melalui pekeliling perkhidmatan yang akan datang. Situasi tidak menyeluruh inilah yang membangkitkan rasa tidak puas hati kalangan guru.



Kerajaan pula mendakwa walaupun terpaksa mengawal defisit dan perbelanjaan negara masih mendengar keluh kesah warga pendidik. Kenyataan ini seolah-olah bertentangan dengan laporan-laporan di media yang hampir saban hari menyiarkan bahawa keadaan ekonomi berkembang positif, sasaran KDNK 5-6%, kemasukkan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat serta pengukuhan ringgit berbanding dollar Amerika seolah-olah realiti ekonomi negara adalah sebaliknya.



Penulis turut berasa kecewa sepertimana rakan seperjuangan yang lain. Harapan menggunung diletakkan dan hadiah yang diwar-warkan sekurang-kurangnya melegakan sedikit ketegangan dan tekanan akibat kenaikkan harga barang akhir-akhir ini. Tetapi, harapan tinggal harapan.



Namun penulis cuba melihat isu ini dari perspektif yang berbeza. Untuk jangkamasa panjang sebagai guru, penulis yakin dan percaya hadiah yang diberikan itu memberi peluang kepada penulis yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang berbaki lebih 20 tahun. Begitu juga bagi warga pendidik yang secara keseluruhannya masih mempunyai baki perkhidmatan yang hampir sama.



Tidak dapat dinafikan, situasi ini tidak memberi kelebihan kepada guru-guru senior yang telah lama berkhidmat. Paling tidak pun mereka hanya merasa tempiasnya sahaja sementara menunggu waktu pencen. Ia hanya memberi keuntungan kepada guru junior. Inilah adat orang berjuang. Kemanisannya hanya akan dirasai oleh generasi baru. Lihat saja contoh kemerdekaan. Mereka yang berjuang menuntut kemerdekaan hanya menikmati sedikit kemanisan kemerdekaan. Selebihnya dinikmati oleh generasi mendatang. Namun, penulis percaya nikmat kemenangan itu sudah cukup bagi mereka. Malah ia melebihi segala-galanya, mungkin.



Berlapang dadalah, mungkin ganjaran yang diterima bukan dalam bentuk ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Kepada guru-guru baru yang merasakan tidak ada pembelaan untuk gred mereka, apa yang anda perlukan ialah kesabaran. Waktu anda akan tiba. Janganlah merungut tidak tentu pasal sedangkan perkhidmtan baru setahun jagung. Anda pasti akan menikmatinya - dengan berkat usaha yang gigih.



Perjuangan tidak akan terhenti di sini. Berjuanglah menuntut hak kita. Jangan pula kerana isu ini nanti anak didik kita yang menjadi mangsa dek kerana terbawa-bawa kemarahan selepas 16 Mei 2011. Berjuang pula untuk 16 Mei 2012.





shukor

2240

18 Mei 2011

No comments: