SEORANG pembaca menghantar SMS kepada saya dengan bunyinya: ''Tabika dirantai, dimangga bukti kekejaman Zionis…" Yang ini bukan Zionis Israel, tapi Zionis Melayu Malaysia.
Hanya mereka yang mempunyai pemikiran yang cetek, secetek-ceteknya sahaja yang sanggup melakukannya. Setakat ini, mengikut rekod, hanya orang Melayu sahaja 'sanggup' berbuat begitu. Sebelum ini, semasa Pas memerintah Terengganu, kisah-kisah ini bukan asing lagi. Tabika-tabika milik Kemas ditutup di sana-sini. Kanak-kanak yang tidak mengenali erti 'kehidupan' terpinga-pinga. Semangat wajah-wajah kecil itu yang bangun pagi untuk menimba ilmu ABC, Alif, Ba, Ta - luntur. Tidak perlulah bercakap mengenai politik, kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa pun mengenainya.
Kini, kisah itu kedengaran di Pulau Pinang pula, negeri yang dikuasai DAP dan PKR.
Persoalannya mengapa sampai begitu sekali tahap tindakan mereka? Mengunci dan memangga tabika itu tanpa ada perasaan langsung. Jangan diganggulah institusi pengajaran dan pembelajaran sebegitu. Tiada dalam rekod (sepanjang yang kita tahu) tabika-tabika milik parti Pas (dikenali sebagai Pasti) yang ditutup oleh kerajaan memerintah ataupun oleh JKKK di kampung-kampung.
Kita tidak pasti dan kurang faham mengapa orang yang 'tergamak' menutup tabika-tabika itu mempunyai perasaan sebegitu. Apakah mereka merasakan kanak-kanak itu mahu diindoktrinasi atau dicuci pemikiran mereka oleh kerajaan? Ataupun, pihak-pihak yang tergamak menutup tabika itu hanya mahukan premis-premis bangunan itu untuk aktiviti mereka? Atau, mereka hanya mahu menunjuk kuasa? Seboleh-bolehnya kita mahu bersangka baik dengan tindakan itu, tapi malangnya kita masih kurang faham.
Kes seperti ini tidak boleh sama sekali dianggap sebagai kes terpencil. Ia bukan kes terpencil, tapi kes yang terlalu besar untuk difikirkan. Mengapa hanya orang Melayu sahaja yang 'tergamak' melakukan tindakan bodoh seperti itu?
Masyarakat Cina, waima apa sekalipun fahaman politik, soal pendidikan ialah perkara nombor satu mereka. Tiada kompromi dalam soal itu. Mereka kini, tanpa memilih bulu, sedang melancarkan kempen mengutip dana RM2 juta bagi membiayai pendidikan Cina di seluruh negara. Kain-kain rentang, poster-poster kempen, The Dragon Mission 2009 diletakkan merata-rata tempat, dengan ditaja oleh sebuah syarikat arak.
Masyarakat mereka sanggup bersatu untuk satu tujuan iaitu: Pendidikan dan Pelajaran, selain soal Budaya, Perniagaan dan Bahasa mereka.
Kita juga hairan, apabila timbulnya isu-isu penutupan tabika seperti ini misalnya, NGO-NGO yang sering bercakap mengenai soal hak asasi manusia senyap sunyi. Persatuan mahasiswa, persatuan mahasiswa Islam yang kononnya, berhaluan kiri di universiti-universiti juga senyap sunyi. Tiada kutukan yang dilemparkan oleh mereka terhadap perbuatan 'tidak bertamadun' seperti itu.
Persoalannya, ramai daripada mahasiswa ini yang kadang-kadang tanpa berselindung menyokong parti pembangkang tidak pula pernah diberi tekanan oleh kerajaan memerintah. Malah mereka menikmati PTPTN lagi dan berupaya menamatkan pengajian dengan ijazah.
Wahai Melayu yang menutup tabika-tabika seperti itu. Bukalah minda anda. Ingatlah apakah perbuatan anda itu bermanfaat untuk bangsa anda yang miskin ini.
Kes di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau itu lebih klasik kerana rata-rata orang Melayu di situ ialah nelayan yang miskin-miskin belaka. Hanya tabika itulah yang termampu oleh mereka untuk menghantar anak-anak memperoleh pendidikan asas. Untuk rekod lagi, perbuatan mengunci dan memangga tabika itu bukan pertama kali dilakukan. Hanya kali ini ia dihebahkan kepada media.
Di masa kaum-kaum lain sedang merebut pelbagai peluang untuk memajukan diri mereka - bangsa mereka, orang Melayu berfikiran kebelakang. Sering kali, kita terlalu taksub dengan sesuatu perkara sehingga menyebabkan perasaan menguasai kewarasan.
Ingatlah, orang Melayu bukanlah satu bangsa yang kuat (lagi) di negara ini. Bila-bila masa mereka boleh ditundukkan. Apabila kuasa (yang sedikit ini) sudah tiada lagi di tangan mereka, maka pada hari itu sudah tidak berguna lagi. Kita akan melukut di tepi gantang.
No comments:
Post a Comment