1. Ugutan YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hendak menghalang pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Yayasan Basmi Kemiskinan sekiranya tidak dilantik sebagai pengerusi merupakan satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan pembangunan negeri dan rakyat.
2. Khalid dilaporkan meminta agar beliau dilantik sebagai Pengerusi YBK atau kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek pembinaan UiTM YBK di Serendah, Selangor.
3. Wajarkah kelulusan sesebuah projek pembangunan disyaratkan dengan orang yang memberi kelulusan dilantik mengetuai projek tersebut?
4. Kelulusan projek pembangunan harus mengambil kira laporan kesan alam sekitar, "economy viability", kepentingan kepada rakyat dan negeri. Sebaliknya, piawai baru kerajaan negeri mensyaratkan Menteri Besar menjadi Pengerusi Pemaju sangat tidak beretika dan boleh dianggap pecah amanah (criminal breach of trust) jika diteruskan.
5. Walau apa jua alasan kerajaan negeri Selangor terhadap kegiatan YBK ia tidak harus menghalang satu projek pembangunan yang bukan sahaja menguntungkan YBK tetapi juga negeri secara keseluruhan.
6. Jika dikatakan ada penyelewengan maka laporkanlah kepada pihak berkuasa. Jangan sekadar membuat pelbagai kenyataan yang bombastik hanya sekadar untuk memburukkan orang yang tidak selari atau tidak mahu tunduk kepada kepentingan politik kerajaan negeri hari ini.
7. Saya difahamkan pembangunan UiTM di Serendah akan menempatkan kampus Fakulti Sains yang akan menampung 5, 000 pelajar. Dengan jumlah 5 ribu pelajar ini bersama pensyarah dan kakitangan sokongan, projek ini pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Selangor Utara atau Hulu selangor.
8. Banyak rumah-rumah dan lot perniagaan yang terbiar di sekitar Bukit Beruntung akan kembali maju. Malahan sejak diuar-uarkan akan dibina kampus UiTM di situ sahaja pasaran hartanah di sekitar Bukit Beruntung sudah kembali menarik minat pasaran.
9. Selebihnya pembangunan UiTM ini akan membolehkan YBK mempunyai dana yang besar untuk terus menjalankan kegiatan membantu masyarakat miskin di Selangor. Sepatutnya kerajaan negeri berbangga kerana Yayasan ini mempunyai perniagaan sendiri yang akan digunakan untuk membantu rakyat miskin di Selangor. Ini sekaligus membantu mengurangkan beban tanggungjawab kerajaan negeri.
10. Hasil dari projek ini juga akan digunakan oleh YBK untuk membayar beberapa tunggakan hutang hasil mereka kepada kerajaan negeri. Ini bermakna dari projek ini juga kerajaan negeri akan mendapat hasil.
11. Jadi saya tidak nampak bagaimana projek ini boleh merugikan rakyat jika kepentingan rakyat dijadikan alasan oleh kerajaan Selangor.
12. Pada hemat saya masih banyak ruang pentadbiran kerajaan negeri yang perlu difokuskan oleh Tan Sri Khalid seperti masalah-masalah Pihak Berkuasa Tempatan, janji kutipan hasil pasir yang masih jauh dari sasaran dan usaha menarik pelaburan asing yang entah ke mana jadinya. Banyak juga janji-janji Pakatan dalam pilihan raya dahulu masih belum ditunaikan.
13. Elok dan molek sekali kiranya Tan Sri Khalid memfokuskan tugas ke arah memajukan negeri berbanding cuba mengambil alih sebuah Yayasan yang telah lama memberi sumbangan kepada negeri Selangor.
sumber ( Dato Khir Toyo )
No comments:
Post a Comment