Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Tuesday, September 28, 2010

AUKU: Permohonan pelajar UKM ditolak



KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) hari ini menolak permohonan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang melarang pelajar menyertai politik, sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Aziah Ali memutuskan bahawa, larangan yang dikenakan itu adalah sejajar dengan Seksyen 15(5)(a) dan tidak melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Beliau juga menolak dengan kos permohonan injunksi oleh pelajar berkenaan untuk menyekat UKM daripada mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka kerana dikatakan berkempen pada pilihan raya kecil bagi kawasan Hulu Selangor pada April lepas.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM untuk mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka.

Dalam saman berkenaan, pelajar terbabit mendakwa bahawa universiti itu, melalui surat bertarikh 13 Mei, meminta mereka hadir di universiti berkenaan untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian atau tidak menghantar representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari, maka pengajian mereka akan digantung dengan serta-merta.

Dalam penghakiman setebal 23 muka surat, Aziah berkata larangan yang terkandung dalam Seksyen 15(5)(a) itu bertujuan mencegah kekacauan yang berpotensi berlaku di universiti, yang juga boleh disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Aziah berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili UKM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa larangan yang dikenakan itu adalah penting atau wajar untuk memelihara disiplin pelajar, yang merupakan sebahagian daripada akhlak orang ramai dan yang wajib dipatuhi oleh pelajar. — Bernama

No comments: