Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Wednesday, January 5, 2011

Istana dedah kedudukan sebenar pelantikan Khusrin



# Majlis angkat sumpah taat setia tetap diadakan esok
# Pelantikan mengikut prosedur
# Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kurang tepat
# Kenyataan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei keterlaluan
# Cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri mesti dapat perkenan baginda

Istana tetap iktiraf Mohd Khusrin

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menjelaskan kedudukan sebenar dan pelbagai perkara yang dibangkitkan beberapa pihak berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Penjelasan itu dibuat baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani. Berikut kenyataan penuh Mohamad Munir.
“Majlis angkat sumpah taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang akan diadakan pada Khamis, 6 Januari 2011 di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan. Ini adalah kerana sepengetahuan DYMM Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan Peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada majlis berkenaan akan diadakan upacara pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor kepada Raja Muda Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-65 DYMM Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima sempena ulang tahun baginda pada 11 Disember 2010, Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Selain daripada itu, pada majlis berkenaan juga akan diadakan upacara angkat sumpah taat setia penjawat awam Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan Diraja Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan ahli Majlis Agama Islam Selangor dan pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.

Majlis itu bukanlah merupakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi adalah majlis angkat sumpah taat setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada DYMM Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada negeri Selangor.

Berikutan pelantikan Setiausaha kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei pada 30 Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau. Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau kerana baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55(1)(1A).

Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan DYMM Sultan Selangor seolah-olah sebagai `beraja di mata, bersultan di hati' adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada DYMM Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai `Pelantikan SUK Tidak Semestinya dibuat SPA' oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Walaupun terdapat SPAN di negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di Selangor kuasa pelantikan itu adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan DYMM Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat.

Apa yang sebenarnya berlaku, nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Eksekutif negeri Selangor. Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon berkenaan dipersetujui oleh Suruhanjaya Pekhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh JPA dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di negeri Selangor.

Mengenai cadangan Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, DYMM Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan. Tindakan Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada DYMM Sultan Selangor, baginda menitahkan supaya cadangan pindaan itu dipersembahkan untuk mendapat perkenan baginda terlebih dulu.

sumber : berita harian 5/1/2011

No comments: