bumi dipijak langit dijunjung mari berfikir luar tempurong tak kira pangkat ataupun darjat limpah kurnia gelombang cinta
Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)
Tuesday, May 18, 2010
Isu BIM vs KTBM
1. Agak menarik untuk membincangkan topik ini memandang isu yang akan dibincangkan ini terlalu umum dan mempunyai pelbagai tafsiran mengikut pelbagai pandangan dari sudut yang berlainan. Lain sudut kita berdiri, lain pandangan yang kita lihat. Saya juga tidak terkecuali.
2. Sebelum menulis artikel ini, saya telahpun membaca tulisan Sazali, Amir dan juga Hisham mengenai isu ini. Ketiga-tiga mereka mempunyai ulasan sedikit sebanyak bercanggah lantaran mereka melihat isu ini dari sudut yang berlainan. Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan analisis dan pandangan terhadap tulisan tulisan 3 orang di atas dan juga pengalaman saya sepanjang bergelar pelajar di sekolah rendah dan menengah yang mendapat pendidikan khas. Sebelum itu saya ingin tegaskan, tulisan saya ini bukan untuk menyanggah pendapat mana-mana pihak (berdebat). Tetapi adalah sekadar perbincangan bersama (muzakarah). Berdebat hanya membuat EGO kita cuba menegakkan benang yang basah.
3. Isu BIM dan KTBM mempunyai persoalan pokok yang sama - Implikasi Penguasaan Bahasa Melayu dan pemahaman dalam pembelajaran di kalangan orang pekak.
4. Tidak sukar bagi saya untuk memahami pandangan para 'guru berpangkat tinggi' di Bahagian Pendidikan Khas (sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Khas) kerana saya pernah bekerja di situ sebagai kakitangan kontrak sebelum bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sepanjang bekerja di sana, ada beberapa kali mereka berbuka cerita berkenaan isu BIM dan KTBM ketika makan semeja.
5. Di Mengikut tulisan Presiden MFD, pihak BPKhas menyalahkan BIM sebagai punca kegagalan pelajar pekak dalam penguasaan Bahasa Malaysia. Ini saya tidak nafikan sebab memang inilah apa yang dikatakan berulang-ulang kali oleh orang di BPKhas kepada saya ketika bekerja di sana. Persoalannya, benarkah mitos BIM merosakkan bahasa melayu di kalangan orang pekak seperti yang di tuduh oleh BPKhas?
6. Seperti yang dimaklumi, BIM adalah satu sistem komunikasi bebas yang menggunakan gabungan isyarat tangan, badan dan memek muka untuk merujuk sesuatu makna. Berlainan dengan KTBM, BIM mempunyai struktur bahasa tersendiri. BIM tidak terikat peraturan susunan ayat kerana BIM bebas untuk dituturkan mengikut susunan ayat sendiri. Setiap orang mempunyai susunan ayat tersendiri dan unik untuk menuturkan isyarat tangan. Inilah membezakan identiti individu orang pekak dengan individu pekak yang lain. Ia tidak sedikitpun menjejaskan penyampaian maksud yang hendak disampaikan.
7. Fakta mengatakan BIM tiada struktur tatabahasa adalah tidak tepat. MEMEK MUKA ketika menuturkan sesuatu isyarat itulah merupakan tatabahasanya. Bagi saya, memek muka merupakan kata imbuhan bagi BIM. Dalam Bahasa Melayu, Imbuhan "Men....i" (cth : menyayangi, Mencintai ) menunjukkan perasaan. Bukankah memek muka ketika membuat sesuatu isyarat juga menunjuk perasaan. Begitu juga bila kata dasar TUMBUK menggunakan imbuhan "Men" dan "Ter" menunjukkan perbuatan sengaja dengan tak sengaja. Imbuhan ini juga ada dalam BIM, 'menumbuk' dituturkan dengan cara membuat isyarat tumbuk ke depan sambil memandang orang yang hendak ditumbuk. Manakala 'tertumbuk' pula dituturkan dengan cara menumbuk ke depan tetapi kepala memandang ke tempat lain, bukan ke tempat yang hendak ditumbuk tersebut. Jadi siapa kata BIM tiada struktur bahasa (tatabahasa)? ia cuma agak berlainan sedikit..
8. Jesteru itu, BIM merupakan satu jenis bahasa komunikasi yang mempunyai tatabahasanya sendiri yang tidak boleh diterjemah secara terus. Menyalahkan BIM yang menyebabkan BM orang pekak lintang pukang samalah seperti menyalahkan BM kalau BI pelajar normal lintang pukang. Seperti yang dikatakan sazali dalam Blognya - "Mereka lupa kalau ayat BM ini "jalan-jalan makan angin" di tuliskan terus dalam English akan menjadi "walk-walk eat air".
9. Satu-satunya kelemahan BIM ialah tidak mempunyai isyarat tangan bagi beberapa perkataan dalam BM atau BI. Kelemahan ini biasanya ditutup dengan mengeja perkataan tersebut. Namun kelemahan bukan satu isu, bukankah banyak perkataan BI tiada dalam BM?
(Bersambung ke "Isu BIM-KTBM : KTBM dalam P&P")
Glosari :-
BIM = Bahasa Isyarat Malaysia
KTBM = Kod Tangan Bahasa Melayu
P&P = Pengajaran dan Pembelajaran
BPKhas = Bahagian Pendidikan Khas
BM = Bahasa Melayu
BI = Bahasa Inggeris
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment