Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Tuesday, May 18, 2010

Peguam Sivil vs Peguam Syariah

Tarikh : Friday, August 15 @ 22:29:19 PDT
Topik : Artikel Pilihan

Dari zukriaksah.com

Kita semua telah maklum yang peguam sivil melalui Majlis Peguam “buat hal” lagi lewat hujung minggu lalu melalui penganjuran forum yang bertajuk “Memeluk Islam: Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan Menjejak Semula Subashini dan Shamala.”

Akibat dari bantahan dan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam – Melayu di luar pejabat Majlis Peguam, sehingga menyaksikan beberapa insiden kekecohan kecil berlaku, pihak polis akhirnya campur tangan dan terpaksa menghentikan forum tersebut di separuh jalan.

Saya percaya bahawa orang Islam di Malaysia tidak akan marah jika Subashini dan Shamala membawa tuntutan mereka ke mahkamah yang paling tinggi sekalipun di Malaysia, bagi mendapatkan bahagian mereka dari bekas suami mereka yang telah memeluk Islam, bahkan mereka boleh membawa tuntutan mereka ke mahkamah syariah jika mahu, saya yakin ia akan dibicarakan secara adil.


Yang orang Islam dan Melayu marah serta tidak boleh terima ialah bila soal memeluk Islam dan Perkara 121 (1A) (peruntukan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa perkara yang berada dalam bidang Mahkamah Syariah) cuba diperdebatkan. Ia seperti sengaja mencabar, apa lagi ia dilaksanakan dalam sebuah forum yang begitu diwar-warkan, yang begitu dipromosi dan disensasikan. Maka timbul keraguan apakah forum tersebut benar-benar ikhlas diadakan untuk mencari satu penyelesaian atau ia sebuah perancangan licik “sengaja mengacah kemudian mencari salah”? Bagi orang Islam – Melayu di Malaysia, cukuplah di merata dunia Islam dikambing-hitamkan sebagai jahat, janganlah pula ia turut berlaku di Malaysia yang mana Islam adalah agama persekutuannya.

Orang Islam – Melayu di Malaysia, walaupun masih terkesan bekas dan parutnya, tidak pernah sesekali terniat dan berhasrat, melalui mana-mana NGO atau parti politik pun, untuk menganjurkan apa-apa forum, membincangkan dari sudut undang-undang dalam konteks semasa, bagi menjejak hak Mansor Adabi yang mana isterinya, Natrah telah dilari dan dikristiankan, kerana kita sebenarnya sangat sayang akan keharmonian dan kerukunan yang kita kecapi hari ini. Tidak bolehkah sikap sebegini diikuti oleh sahabat-sahabat bukan Islam di Malaysia?

Maaf Dato’ Ambiga (juga mereka yang lain yang kononnya menjuarai isu hak asasi manusia), isu berforum ini dan berhimpun menentang forum ini bukan lagi sekadar isu hak asasi manusia, bukan lagi isu kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun, ia melangkaui ini semua. Ini soal bangsa Malaysia, setelah bersusah-payah kita belajar untuk saling mengenal, saling memupuk kasih-sayang, inilah masanya untuk kita memikirkan bagaimanakah caranya kita mahu terus hidup bersama. Adalah satu tanggungjawab dalam memastikannya terlaksana, bukan tanggungjawab Akta Keselamatan Dalam Negeri, bukan tanggungjawab Akta Hasutan, bukan tanggungjawab Akta Polis, bukan tanggungjawab Ordinan Darurat, malah kita tidak perlukan itu semua pun, ini adalah tanggungjawab kita semua, rakyat Malaysia! Saya sudah bercakap soal “reformasi bertanggungjawab” ini sejak lama dahulu lagi, sejak masih dalam kepimpinan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, YB Siva pasti mengingatinya. Tidak wajar untuk kita bermain api sesama sendiri.

Soalnya, apakah benar isu Subashini dan Shamala ini begitu besar dan kritikal untuk dibincangkan sehingga sebegitu rupa? Berapa ribu lagi “Subashini dan Shamala” yang ada di luar sana yang sekarang tenang dan pasrah dengan keislaman orang terdekat dalam hidup mereka? Tanya YB Sivarasa, salah seorang saudara kandungnya memeluk Islam, ada masalahkah? Tanya Datin Seri Jeane Abdullah, bila beliau memeluk Islam, keluarganya ada masalahkah? Tanya YB Datuk Anuar Tan, tanya YB Tan Sri Leo Moggi, Tanya Nazree Raihan, Tanya Ustaz Hussein Yee… dan ramai lagi jika mahu disenaraikan (termasuklah seorang kawan di universiti dahulu, seorang Sabahan). Majlis Peguam kena berfikir, kenapa badan dakwah seperti PERKIM yang mengislamkan ramai saudara baru tidak pula galak nak berforum seperti mereka.

Saya cenderung untuk membaca isu ini sebagai isu prejudis. Tetapi Majlis Peguam perlu menjawab dahulu apakah benar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 121 (1A) itu memang menganaktirikan “hak sivil” dan mengutamakan “hak syariah”? Atau lebih kepada melayan emosi beberapa kerat peguam sivil yang “tak boleh cari makan” kerana merasa lain macam setiap kali memasuki dewan bicara Mahkamah Syariah?

Saya nak ceritakan betapa untungnya hak syariah berbanding dengan hak sivil di Malaysia yang Islam adalah agama persekutuan ini. Isteri saya seorang peguam syariah, mempunyai firma guaman syariahnya sendiri di Kuantan. Dia dulu belajar di Jordan, dalam silibus pembelajarannya, dia juga belajar undang-undang sivil. Kalau peguam sivil boleh terus praktis syariah dengan hanya mendapatkan lesen dari Majlis Agama Islam Negeri atau berkursus setahun untuk DSLP (Diploma in Syariah Law Practise – sudah ada ke negeri yang menguatkuasakannya?), tidak bagi orang seperti isteri saya! Peguam syariah yang datang dari aliran syariah tulen perlu sambung tiga atau empat tahun pembelajaran lagi untuk mendapatkan satu lagi ijazah lain dalam bidang undang-undang bagi membolehkan dia praktis dalam bidang guaman sivil, bayangkan masa dan kos yang terpaksa dia tanggung.

Malaysia dikenali sebagai hub perbankan dan kewangan Islam sejak lama dahulu, maka berlumba-lumbalah bank-bank di Malaysia menawarkan produk-produk perbankan dan kewangan yang berlandaskan syariah. Bagi pihak seperti Majlis Peguam, ini juga mungkin dianggap sebahagian dari penganaktirian orang bukan Islam di Malaysia… benarkah begitu? Semua produk ini datang dengan dokumentasi, tidak kiralah perjanjian pembelian, sewa beli atau jual beli, mudharabah, al bai bithaman ajil atau qadrul hassan. Siapa yang mendapat keuntungan dari ini semua, siapa yang menguruskan dokumentasi dan perjanjian ini, mestilah peguam bukan! Perkembangan produk perbankan dan kewangan Islam dari sudut ini sepatutnya membuka ruang baru kepada skop profesion peguam syariah, tetapi tidak, sign peguam syariah pun tak laku untuk dokumentasi dan perjanjian-perjanjian ini, mereka hanya mampu berputih mata sedang peguam sivil semakin kaya membina harta. Apa Majlis Peguam buat dalam hal ini? Bukankah Majlis Peguam juga ada jawatankuasa untuk undang-undang syariah dan kewangan Islam, tidak terfikirkah untuk menganjurkan forum bagi memperjuangkan nasib peguam syariah ini? Atau bagi Majlis Peguam ini tidak penting, nasib peguam syariah ini bukan contoh kes diskriminasi yang relevan berbanding kes Subashini, Shamala ataupun Lina Joy…

Inilah Malaysia yang Islam adalah agama persekutuan… cepat bagitahu saya siapa lagi yang rasa tertindas dan dianaktiri hanya kerana klausa ini.

(Saya telah memberitahu isteri saya supaya mencadangkan kepada Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM) untuk membentuk satu kumpulan penyelidik bagi merangka kertas cadangan pembentukan Majlis-Majlis Peguam Syariah di negeri-negeri di seluruh Malaysia dengan pindaan beberapa perkara dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri. Setelah siap kertas cadangan ini, PGSM harus membentuk satu delegasi untuk mengadap kesemua Sultan dan Yang DiPertuan Agung bagi negeri-negeri yang tidak bersultan serta wilayah persekutuan untuk mendapat perkenan. Setelah perkara ini berjaya dibentang dan diluluskan di semua Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk Wilayah Persekutuan, PGSM pula perlu bermesyuarat agung luar biasa bagi mengubah kerangka PGSM menjadi seperti MTUC, iaitu sebagai persatuan gabungan Majlis-Majlis Peguam Syariah Negeri. Dalam pindaan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri nanti, sistem peperiksaan kemasukan peguam syariah mestilah diperkenalkan, Majlis Peguam Syariah Negeri-Negeri kemudiannya pula menurunkan kuasa melaksanakan peperiksaan kemasukan kepada PGSM supaya ia boleh dilakukan secara berpusat dan seragam. Barulah undang-undang syariah akan kuat dan peguam syariah akan dihormati.)

No comments: