Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Wednesday, December 15, 2010

'Membunuh' semangat perjuangan orang Melayu



KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah sia-sia jelas menunjukkan bahawa Mursyidul Am Pas itu cuba mempersenda dan memperlekehkan kedudukan raja-raja Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, ia juga memperlihatkan bahawa Nik Abdul Aziz sebagai ulama yang cenderung mengeluarkan kenyataan yang mampu 'membunuh' semangat perjuangan orang Melayu secara keseluruhannya.

Menurut beliau, golongan ulama sepatutnya berfikiran terbuka, berpandangan jauh serta memberikan idea bagi membina keupayaan umat Islam dan bukannya fatwa sempit berasaskan kepentingan politik semata-mata.

''Kejayaan orang Melayu termasuk yang menyertai parti-parti pembangkang adalah hasil daripada perjuangan UMNO yang berpegang kepada konsep ketuanan Melayu dan Islam.

''Jika tidak kerana UMNO mempertahankan konsep ketuanan Melayu, belum tentu lagi orang Melayu termasuk yang menerajui Pas mampu memegang pelbagai jawatan penting dalam pelbagai bidang.

''Perjuangan UMNO menegakkan ketuanan Melayu tidak bermakna kita meminggirkan Islam, sebaliknya terus diperkasa untuk kesejahteraan umat,'' tegas beliau dalam blognya, umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyifatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah perjuangan yang sia-sia.

Jelas beliau, tindakan melaung- laungkan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, konsep ketuanan Melayu telah disepakati sejak turun-temurun dengan kedudukan institusi raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam tetap dipertahankan.

''Ini jelas menunjukkan UMNO sebagai parti terbesar mewakili orang Melayu sentiasa menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya. Orang Melayu di negara ini secara semulajadinya adalah beragama Islam dan apabila hak dan keistimewaan mereka dipertahankan bermakna merangkumi kedudukan syiar Islam itu sendiri,'' ujarnya.

Oleh sebab itu, katanya, pembangunan umat dan perkembangan syiar Islam di negara ini sejak selepas merdeka adalah hasil perjuangan UMNO dan turut menjadi agenda penting dalam dasar pembangunan negara.

Sedangkan Pas, jelasnya, hanya menggunakan agama sebagai alat untuk memancing undi orang Melayu sehingga tergamak mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk mengkafirkan orang Islam yang menyokong UMNO.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang berfikiran sempit dan lupa sejarah.

''Sepatutnya, sebagai pemimpin, pemikiran kena luas. Jika tidak ada perjuangan ketuanan Melayu, kita tidak akan mencapai kemerdekaan dan sudah tentu beliau tidak akan menjadi Menteri Besar pada hari ini. Lupakah beliau apa yang berlaku kepada nasib bangsa kita semasa zaman penjajah? Nik Abdul Aziz jangan lupa sejarah.

''Seperkara lagi, jika tiada perjuangan ketuanan Melayu dahulu, mungkin pada hari ini orang Melayu tidak akan merasa hendak jadi Menteri Besar, tidak ada Universiti Islam Antarabangsa, tidak ada Tabung Haji, Felcra atau Jabatan Agama Islam,'' tambahnya.

Sumber : Utusan Malaysia 16/12/2010

No comments: