Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Thursday, December 9, 2010

'Politik sesumpah Pas kian terserlah'

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pendirian barisan pemimpin tertinggi Pas yang bertentangan antara satu sama lain mengenai beberapa isu sejak kebelakangan ini mencerminkan wajah sebenar parti itu yang mengamalkan politik 'sesumpah'.

Bekas Felo Pusat Syariah Undang- Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, pendirian berbeza merupakan perkara biasa bagi sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik yang mendukung demokrasi.

Bagaimanapun katanya, sekiranya percanggahan tersebut melibatkan perkara-perkara penting termasuk asas perjuangan parti sendiri, ia jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai prinsip yang jelas seperti yang diuar- uarkannya selama ini.

"Perbezaan pendapat pemimpin tertinggi Pas mengenai cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri ibarat membuka pekung di dada kerana ia jelas memperlihatkan mereka tidak sehaluan.

"Selain itu, pendirian berubah-berubah dalam beberapa isu terdahulu yang membabitkan prinsip parti itu membuktikan teori saya bahawa pendekatan Pas semakin mirip dengan 'sesumpah' yang boleh bertukar warna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju dengan cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat bagi menubuhkan kerajaan pada masa depan.

Persetujuan itu bagaimanapun bukannya sebulat suara oleh barisan pemimpin tertinggi Pas yang lain apabila ada yang mendakwa tidak tahu menahu mengenainya, termasuk Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yaakob mempertahankan Nik Abdul Aziz apabila menyatakan persetujuan beliau meskipun Ketuanya, Datuk Harun Taib tidak bersetuju.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zaini Abu Bakar berkata, pendirian berbeza barisan pemimpin tertinggi Pas bukan sahaja menonjolkan kelemahan parti, malah mengelirukan penyokong sendiri.

Kredibiliti parti itu tambahnya, semakin diragui apabila Mursyidul Amnya sendiri mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak konsisten mengenai satu isu yang sama.

"Beliau kini kerap mengeluarkan pendapat yang berbeza mengikut keadaan. Jika hari ini, di hadapan orang ini, beliau berkata begini. Esoknya, di hadapan yang lain, beliau berkata begitu pula.

"Beliau juga dilihat kerap tidak bersetuju dengan Presiden Pas dan barisan pemimpin lain dalam beberapa isu. Kalau berterusan, bagaimana orang bawah hendak yakin dengan kepimpinan mereka," katanya.

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

No comments: