Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

Tuesday, December 21, 2010

'Pembohongan besar untuk tipu rakyat'



PUTRAJAYA 21 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan pakatan pembangkang jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Beliau menganggap kenyataan pembangkang itu sekadar umpan untuk menarik pengundi dengan bermacam-macam tawaran istimewa tanpa membuat perkiraan betul terutama dari segi kewangan.

Sebagai contoh, katanya, jika 400,000 orang guru diberikan imbuhan bulanan sebanyak RM500, ini bermakna kerajaan pembangkang perlu membelanjakan RM200 juta sebulan dan jika diukur setahun ia membabitkan kos RM2.4 bilion.

''Dia kata ada duit jadi kita bacalah (andaikan) tapi implikasinya kalau naik gaji guru tapi tak naik gaji pegawai kerajaan lain yang berjumlah 1.2 juta orang, macam mana?

''Apakah guru sahaja ditawarkan, kenapa tidak tawarkan kepada yang lain? Kalau semua dinaikkan gaji, setahun sudah berapa, darabkan dengan beberapa tahun, boleh bankrap kita," soal beliau.

Muhyiddin mengulas kenyataan pakatan pembangkang yang dalam konvensyen mereka di Pulau Pinang Ahad lalu mengemukakan Program 100 Hari yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan untuk menghapuskan tol, merombak subsidi kepada swasta dan menaikkan imbuhan guru sebanyak RM500.

Menurut beliau, pembangkang boleh berkata apa sahaja kerana mereka tidak mempunyai pengalaman mengepalai Kerajaan Pusat berikutan setiap keputusan memerlukan kajian, penelitian dan kesan tempoh masa panjang.

''Cakap tu kenalah teliti dan mendalam, jangan kerana nak tarik sokongan rakyat lepas itu katalah...Nauzubillah dia memang (pilihan raya) dan tak boleh kotakan janji, dia akan kata pula tak kan kita nak naikkan gaji guru.

''Kakitangan kerajaan lain takkan nak berdiam diri, tuntutan persatuan-persatuan lain lagi, takkan ada yang akan cakap, tak apa, dia boleh naik (gaji) kami tak naik pun tak apa," katanya dalam nada sinis.

Muhyiddin menambah, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan terikut-ikut dengan kerenah pembangkang kerana BN boleh kekal dalam keadaan yang cukup baik serta semua pihak dapat dinikmati kemajuan.

Justeru, kata beliau, rakyat perlu lebih teliti supaya tidak termakan dengan tawaran pembangkang.

Sementara itu mengulas mengenai kewujudan banyak parti baru seperti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak yang berkemampuan boleh bertanding dan mendaftarkan pertubuhan politik mereka.

''Lebih ramai lebih meriah, sebab rakyat ada banyak pilihan tetapi bagi kita ia tidak menggugat kerana kebanyakan yang wujud boleh bertahan satu penggal sahaja, sebab tidak ada idealogi, pemimpin mereka pun macam yang kita lihat sekaranglah tidak ada pandangan dan visi jelas untuk negara.

''Tidak seperti BN, Perdana Menteri sudah gariskan kerangka untuk membawa negara berpendapatan tinggi dan maju tapi pembangkang tak ada perancangan hendak membawa pembaharuan ekonomi atau membentuk negara," katanya.

No comments: